Tuesday, November 5, 2019

Quizizz

PENILAIAN KEFAHAMAN PELAJAR MENGGUNAKAN APLIKASI QUIZIZZ

Pentaksiran dalam bilik darjah (PBD) merupakan salah satu cara yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menilai tahap penguasaaan pelajar dalam kurikulum standard sekolah menengah (KSSM). Aplikasi Quizizz merupakan salah satu kaedah penilaian yang paling menarik dan berkesan yang boleh digunakan oleh guru bagi merealisasikan PBD. Aplikasi ini merupakan salah satu penggunaan teknologi dalam bilik darjah yang mampu meningkatkan prestasi pelajar menggunakan soalan-soalan berformat pilihan jawapan. Aplikasi ini boleh dimuat turun dari aplikasi Appstore android dan juga IOS secara percuma. 

Penggunaan Quizizz ini begitu mudah untuk guru terutama bagi mereka yang terlalu sibuk untuk membuat soalan ataupun untuk menanda jawapan murid. Hal ini demikian kerana disebabkan aplikasi ini telah digunakan oleh ramai tenaga pengajar di dalam dan luar negara, aplikasi ini mempunyai bank soalan tersendiri untuk membantu guru membuat soalan dalam pelbagai topik. Bank soalan di dalam aplikasi ini mempunyai pelbagai jenis soalan yang berkualiti untuk membantu guru atau pun penggunanya. Guru tidak perlu bersusah payah untuk membuat soalan sendiri untuk menguji pelajar.


Interface Quizizz

Tema aplikasi Quizizz yang menarik minat pelajar

Dengan menggunakan format seperti 'game' serta tema menarik yang menggunakan pelbagai pilihan warna, pelaksanaan permainan ini dapat menarik minat pelajar untuk menjawab koleksi soalan sehingga selesai. Pengalaman saya ketika menggunakan aplikasi ini sungguh mengujakan apabila pelajar kelas saya meminta saya untuk menguji mereka dengan topik lain menggunakan aplikasi ini. Ini jelas terbukti bahawa penggunaan aplikasi Quizizz ini mendorong bukan sahaja dapat menguji tahap penguasaan pelajar, malah memberikan pelajar satu aplikasi alternatif yang lebih menarik dan efisyen untuk mengulangkaji pelajaran.

Pelajar seronok menggunakan aplikasi Quizizz

Mempunyai keunikan tersendiri, Quizizz lebih mudah untuk dimainkan secara berkumpulan mahupun secara individu jika dibandingkan dengan aplikasi Kahoot!. Pelajar dapat melihat soalan dan pilihan jawapan pada skrin telefon pintar mereka sendiri menggunakan aplikasi Quizizz, manakala penggunaan aplikasi Kahoot memerlukan skrin layar untuk memancarkan soalan manakala pilihan jawapan hanya dipamerkan di skrin telefon pintar pelajar. 


Apa yang lebih menarik mengenai aplikasi Quizizz ini adalah, ketika pelajar sedang menjawab soalan dalam aplikasi tersebut, skrin layar utama akan mempamerkan kedudukan pelajar berserta markah yang diperoleh. Kedudukan ini secara tidak langsung meningkatkan daya saing antara pelajar untuk mendapatkan tempat yang teratas dalam permainan ini.
(Rujuk klip di bawah)



Setelah pelajar selesai menjawab soalan di dalam aplikasi ini, guru akan menerima laporan pencapaian setiap murid dalam format excel seperti yang ditunjukkan di dalam rajah di bawah. Setelah membuat analisis berdasarkan laporan ini, guru boleh mengenalpasti bahagian topik  yang majoriti pelajar lemah. Ia dapat membantu saya utuk memilih topik mengikut keutamaan ketika mengulangkaji pelajaran pada waktu peperiksaan semakin hampir tiba.


Laporan pencapaian pelajar
Selain itu, aplikasi ini juga boleh dihubungkan dengan aplikasi Google Classroom. Kelebihan ini memberikan kemudahan kepada guru untuk memberikan ujian tersebut mengikut kelas masing-masing, serta memberikan gred individu berserta komen secara bertulis kepada setiap pelajar melalui aplikasi Google Classroom. Kelebihan ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar mengenalpasti kelemahan dan seterusnya memperbaikinya untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang dalam ujian yang seterusnya.


Aplikasi Quizizz boleh dihubungkan dengan akaun Google Classroom

Akhir kata, saya sebagai guru yang menggunakan aplikasi ini untuk penilaian pelajar dapat membuat kesimpulan bahawa, penggunaan Quizizz bukan sahaja mudah dan menarik, malah dapat membantu guru mengurus kandungan pembelajaran dengan baik. Aplikasi ini juga menarik minat pelajar serta menjadi alternatif baru kepada pelajar untuk mengulangkaji pelajaran. Saya sangat mengesyorkan para guru untuk menggunakan aplikasi ini di dalam kelas.

No comments:

Post a Comment