Penggunaan telefon pintar pada abad ini semakin meluas kerana mempunyai ciri perkomputeran maju dan ketersambungan yang luas berbanding telefon bimbit biasa. Kewujudan pelbagai aplikasi kiriman pesanan yang percuma seperti Whatsapp, Telegram, Line, dan Wechat menjadikan perhubungan antara guru dan pelajar lebih mudah. Walau bagaimanapun, perhubungan tanpa batas dan masa yang sesuai juga akan mengganggu ketenteraman guru terutamanya pada waktu cuti, dan juga selepas waktu bekerja.
Selain itu, kebanyakan individu lebih gemar menggunakan aplikasi ini untuk berhubung dengan rakan, dan juga keluarga. Campur aduk urusan kerja dengan hal-hal peribadi sedikit sebanyak mengganggu "leisure time" guru. Oleh itu, beberapa pemaju bidang IT seperti Google telah memperkenalkan Google Classroom manakala Padlet juga tampil dengan aplikasi Padlet sebagai alternatif khas untuk ativiti dan perbincangan melibatkan pengajaran dan pembelajaran.
Setelah mencuba kedua-dua aplikasi ini, saya dapati bahawa aplikasi Padlet lebih sesuai digunakan untuk pelajar di peringkat sekolah menengah manakala Google Classroom untuk peringkat yang lebih tinggi. Ini kerana, penggunaan Padlet lebih mudah berbanding Google Classroom kerana ianya lebih ringkas. Pelajar akan menerima notis terus daripada aplikasi Padlet jika ada sebarang maklumat baru dimuat naik ke halaman tersebut.
Laman utama Padlet |
Tugasan pelajar lebih mudah dimuat naik |
Penggunaan Padlet sangat sesuai untuk perbincangan dan perkongsian bahan-bahan ilmiah. Ianya lebih menarik kerana setiap status yang dimuat naik oleh pelajar boleh dinilai dengan bilangan bintang serta pelajar lain termasuk guru boleh meninggalkan sebarang komen di status tersebut. Ianya hampir sama seperi laman muka buku. Pelajar boeh berkongsi dan berhujah pendapat masing-masing. Situasi ini secara tidak langsung mampu mewujudkan satu kelompok pelajar yang berfikir secara kritis.
Perbincangan menerusi Padlet ini lebih efektif berbanding aplikasi Whatsapp dan juga Telegram. Ini kerana pelajar boleh berbincang tanpa ada gangguan pesanan lain dalam aplikasi ini. Pelajar juga boleh berbincang dengan bantuan gambar, video, dan dokumen untuk menyokong hujah mereka. Aplikasi ini juga boleh dihubungkan dengan aplikasi Google Classroom. Kelebihan ini dapat saya gunakan untuk memberikan markah mengikut komitmen pelajar.
Saya juga telah menggunakan Padlet ini untuk mendapatkan maklum balas pelajar tentang kaedah dan teknik pengajaran yang digunakan sepanjang tahun. Aplikasi ini lebih mudah dan pantas kerana saya tidak perlu menyediaan sebarang bahan bercetak untuk mendapatkan maklum balas ini. Pelajar juga lebih bersifat terbuka untuk memberikan sebarang komen kepada saya. Maklum balas yang diberikan membantu saya mengenal pasti kelemahan dan kekurangan saya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
Maklum balas pelajar (Puteri & Durratul) |
Maklum balas pelajar (Nasha) |
Secara ringkasnya, saya dapat simpulkan bahawa penggunaan Padlet dapat membantu saya membezakan perbincangan hal kerja (akademik) dengan hal peribadi terutamanya pada waktu cuti sekolah dan jug selepas waktu bekerja. Saya dapat membahagiakan perhatian dengan baik terhadap kedua-duanya pada masa yang sesuai. Pelajar juga seronok menggunakan aplikasi ini kerana mereka bebas menyuarakan pendapat dan juga berhujah secara sihat dengan pantauan guru.
Akhir kata, setelah meneroka beberapa aplikasi (Kahoot!, Quizizz, Padlet, dan Google Classroom) untuk membantu dalam proses pengajaran, saya menjadi lebih celik akan kewujudan aplikasi-aplikasi lain yang boleh diterapkan dalam proses ini. Saya juga sedar akan kegunaan dan kepentingan kegunaan teknologi dalam pendidikan seiring dengan kemajuan yang berlaku sekeliling pelajar generasi Z. Maka, saya menyarankan semua guru termasuk guru yang telah lama berkhidmat untuk menggunakan teknologi yang telah tersedia untuk menarik minat pelajar dan juga memudahkan proses pengajaran .
Sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment