Thursday, November 7, 2019

Padlet

Padlet - Alternatif Perbincangan & Perkongsian Ilmu

        Penggunaan telefon pintar pada abad ini semakin meluas kerana mempunyai ciri perkomputeran maju dan ketersambungan yang luas berbanding telefon bimbit biasa. Kewujudan pelbagai aplikasi kiriman pesanan yang percuma seperti Whatsapp, Telegram, Line, dan Wechat menjadikan perhubungan antara guru dan pelajar lebih mudah. Walau bagaimanapun, perhubungan tanpa batas dan masa yang sesuai juga akan mengganggu ketenteraman guru terutamanya pada waktu cuti, dan juga selepas waktu bekerja. 

        Selain itu, kebanyakan individu lebih gemar menggunakan aplikasi ini untuk berhubung dengan rakan, dan juga keluarga. Campur aduk urusan kerja dengan hal-hal peribadi sedikit sebanyak mengganggu "leisure time" guru. Oleh itu, beberapa pemaju bidang IT seperti Google telah memperkenalkan Google Classroom manakala Padlet juga tampil dengan aplikasi Padlet sebagai alternatif khas untuk ativiti dan perbincangan melibatkan pengajaran dan pembelajaran.

       Setelah mencuba kedua-dua aplikasi ini, saya dapati bahawa aplikasi Padlet lebih sesuai digunakan untuk pelajar di peringkat sekolah menengah manakala Google Classroom untuk peringkat yang lebih tinggi. Ini kerana, penggunaan Padlet lebih mudah berbanding Google Classroom kerana ianya lebih ringkas. Pelajar akan menerima notis terus daripada aplikasi Padlet jika ada sebarang maklumat baru dimuat naik ke halaman tersebut. 
      
Laman utama Padlet


Tugasan pelajar lebih mudah dimuat naik
         Penggunaan Padlet sangat sesuai untuk perbincangan dan perkongsian bahan-bahan ilmiah. Ianya lebih menarik kerana setiap status yang dimuat naik oleh pelajar boleh dinilai dengan bilangan bintang serta pelajar lain termasuk guru boleh meninggalkan sebarang komen di status tersebut. Ianya hampir sama seperi laman muka buku. Pelajar boeh berkongsi dan berhujah pendapat masing-masing. Situasi ini secara tidak langsung mampu mewujudkan satu kelompok pelajar yang berfikir secara kritis.

          Perbincangan menerusi Padlet ini lebih efektif berbanding aplikasi Whatsapp dan juga Telegram. Ini kerana pelajar boleh berbincang tanpa ada gangguan pesanan lain dalam aplikasi ini. Pelajar juga boleh berbincang dengan bantuan gambar, video, dan dokumen untuk menyokong hujah mereka. Aplikasi ini juga boleh dihubungkan dengan aplikasi Google Classroom. Kelebihan ini dapat saya gunakan untuk memberikan markah mengikut komitmen pelajar.

        Saya juga telah menggunakan Padlet ini untuk mendapatkan maklum balas pelajar tentang kaedah dan teknik pengajaran yang digunakan sepanjang tahun. Aplikasi ini lebih mudah dan pantas kerana saya tidak perlu menyediaan sebarang bahan bercetak untuk mendapatkan maklum balas ini. Pelajar juga lebih bersifat terbuka untuk memberikan sebarang komen kepada saya. Maklum balas yang diberikan membantu saya mengenal pasti kelemahan dan kekurangan saya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

Maklum balas pelajar (Puteri & Durratul)

Maklum balas pelajar (Nasha)

       Secara ringkasnya, saya dapat simpulkan bahawa penggunaan Padlet dapat membantu saya membezakan perbincangan hal kerja (akademik) dengan hal peribadi terutamanya pada waktu cuti sekolah dan jug selepas waktu bekerja. Saya dapat membahagiakan perhatian dengan baik terhadap kedua-duanya pada masa yang sesuai. Pelajar juga seronok menggunakan aplikasi ini kerana mereka bebas menyuarakan pendapat dan juga berhujah secara sihat dengan pantauan guru.


        Akhir kata, setelah meneroka beberapa aplikasi (Kahoot!, Quizizz, Padlet, dan Google Classroom) untuk membantu dalam proses pengajaran, saya menjadi lebih celik akan kewujudan aplikasi-aplikasi lain yang boleh diterapkan dalam proses ini. Saya juga sedar akan kegunaan dan kepentingan kegunaan teknologi dalam pendidikan seiring dengan kemajuan yang berlaku sekeliling pelajar generasi Z. Maka, saya menyarankan semua guru termasuk guru yang telah lama berkhidmat untuk menggunakan teknologi yang telah tersedia untuk menarik minat pelajar dan juga memudahkan proses pengajaran .


Sekian terima kasih.

Kahoot!


Pengajaran dan pembelajaran lebih seronok dengan Kahoot!


Era ini, penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi semakin berkembang pesat. Pelbagai alatan teknologi dan komunikasi dihasilkan bagi memenuhi keperluan semasa. Teknologi Maklumat dan Komunikasi ditakrifkan sebagai pelbagai bentuk alatan dan sistem yang digunakan untuk memproses, mengurus, memanipulasi, menyimpan, memindah dan menyebarkan maklumat melalui media eletronik. Justeru, penggunaan web dalam pendidikan di seluruh dunia semakin berkembang dengan kepelbagaian aplikasi web yang disediakan untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

Penggunaan teknologi kursusnya aplikasi web dalam pendidikan juga mestilah difokuskan kepada proses mengaplikasikan peralatan dengan menggunakan prinsip, kaedah dan teknik yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran. Aplikasi web yang digunakan dalam pendidikan mempunyai potensi yang besar untuk menyokong dan meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Kepelbagaian konsep aplikasi yang diterapkan dalam teknologi web membolehkan tujuan sesuatu pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan dengan baik dan lancar.

Oleh yang demikian, bagi melaksanakan pembelajaran abad ke21, teknologi web seperti penggunaan aplikasi Kahoot boleh diterapkan di dalam bilik darjah bagi menarik minat pelajar untuk belajar. Teknologi web merupakan satu revolusi kepada penggunaan internet dan web yang mempunyai ciri perkongsian maklumat, mudah kendali, reka bentuk berpusatkan pengguna dan kerjasama di world wide web  (www). Laman web membolehkan pengguna untuk berinteraksi dan bekerjasama antara satu sama lain atau dalam erti kata lain media sosial. Aplikasi seperti Kahoot ini adalah seperti game tetapi lebih kepada pembelajaran. Selain menggunakan kertas untuk membuat quiz kepada murid, saya boleh menggunakan aplikasi seperti kahoot untuk menilai prestasi pelajar disamping menerapkan suasana pembelajaran yang aktif dan ceria.


Paparan utama aplikasi Kahoot!


Cara penggunaan aplikasi Kahoot ini mudah sahaja. Saya hanya perlu ke https://kahoot.com/ untuk membuat akaun terlebih dahulu. Saya boleh mencipta soalan -soalan berdasarkan silibus murid dan menyimpan segala set-set soalan yang pernah dibuat didalam akaun saya. Bagi guru yang ketandusan idea untuk membina soalan, mereka boleh mendapatkan soalan daripada bank soalan yang terdapat didalam aplikasi Kahoot ini. Saya juga boleh memasukkan gambar atau video untuk menarik minat pelajar untuk menjawab soalan yang ada. Selepas soalan sudah selesai dibuat, saya akan memaparkan soalan pada layar skrin dan setiap murid harus membawa telefon masing-masing dan memasukkan pin game Kahoot untuk menyertai kuiz tersebut.

Pin game Kahoot!
Pelajar tekun menjawab soalan Kahoot!


Seterusnya, secara tidak langsung perkara ini akan menjadikan murid lebih fokus dalam menjawab soalan kerana aplikasi ini memerlukan murid mengutamakan soalan yang hanya terdapat pada paparan skrin utama di hadapan kelas. Murid akan berasa lebih seonok dan menaikkan sifat kompetitif dalam diri pelajar untuk menjadi pemenang didalam game Kahoot ini. Hal ini dapat membantu dalam perkembangan proses berfikir dalam masa yang singkat untuk menjawab sesuatu soalan.

            Setelah murid selsesai menjawab soalan, keputusan murid akan direkodkan didalam akaun dan saya dapat menilai setiap pencapaian keseluruhan pelajar. Rekod pencapaian pelajar ini tidak akan hilang dan dapat menyimpan sebanyak mana yang diperlukan. Melalui rekod pelajar ini, saya dapat mengenalpasti soalan-soalan yang sukar dan mudah untuk pelajar bagi memperbaiki cara pengajaran saya di dalam kelas. 

Laporan pencapaian murid dalam format Excel.
Pada akhir waktu kelas, saya telah membuat sedikit maklum balas mengenai penggunaan Kahoot! ini bersama pelajar. 100% pelajar memberikan komen yang positif dan menyarankan saya menggunakan aplikasi ini dengan lebih kerap supaya merea tidak mengantuk di dalam kelas. Ada juga pelajar yang menyatakan bahawa mereka menjadi lebih celik dengan jawapan yang perlu ditulis pada waktu peperiksaan nanti berdasarkan soalan dalam aplikasi Kahoot! Ini kerana mereka belum biasa dengan tahap soalan dan juga teknik menjawab soalan peperiksaan.


Akhir kata, saya sangat menggalakkan guru-guru seluruh Malaysia menggunakan teknologi Kahoot dalam kelas untuk menguji tahap penguasaan pelajar dalam sesuatu bidang. Ianya bukan sahaja mudah untuk guru, malah menyeronokkan bagi semua pelajar kerana ianya berbentuk permainan. Dengan laporan yang disediakan oleh aplikasi ini, guru boleh mengenalpasti bidang yang memerlukan perhatian yang lebih dalam pengajaran seterusnya.

Selamat Mencuba!



Tuesday, November 5, 2019

Quizizz

PENILAIAN KEFAHAMAN PELAJAR MENGGUNAKAN APLIKASI QUIZIZZ

Pentaksiran dalam bilik darjah (PBD) merupakan salah satu cara yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menilai tahap penguasaaan pelajar dalam kurikulum standard sekolah menengah (KSSM). Aplikasi Quizizz merupakan salah satu kaedah penilaian yang paling menarik dan berkesan yang boleh digunakan oleh guru bagi merealisasikan PBD. Aplikasi ini merupakan salah satu penggunaan teknologi dalam bilik darjah yang mampu meningkatkan prestasi pelajar menggunakan soalan-soalan berformat pilihan jawapan. Aplikasi ini boleh dimuat turun dari aplikasi Appstore android dan juga IOS secara percuma. 

Penggunaan Quizizz ini begitu mudah untuk guru terutama bagi mereka yang terlalu sibuk untuk membuat soalan ataupun untuk menanda jawapan murid. Hal ini demikian kerana disebabkan aplikasi ini telah digunakan oleh ramai tenaga pengajar di dalam dan luar negara, aplikasi ini mempunyai bank soalan tersendiri untuk membantu guru membuat soalan dalam pelbagai topik. Bank soalan di dalam aplikasi ini mempunyai pelbagai jenis soalan yang berkualiti untuk membantu guru atau pun penggunanya. Guru tidak perlu bersusah payah untuk membuat soalan sendiri untuk menguji pelajar.


Interface Quizizz

Tema aplikasi Quizizz yang menarik minat pelajar

Dengan menggunakan format seperti 'game' serta tema menarik yang menggunakan pelbagai pilihan warna, pelaksanaan permainan ini dapat menarik minat pelajar untuk menjawab koleksi soalan sehingga selesai. Pengalaman saya ketika menggunakan aplikasi ini sungguh mengujakan apabila pelajar kelas saya meminta saya untuk menguji mereka dengan topik lain menggunakan aplikasi ini. Ini jelas terbukti bahawa penggunaan aplikasi Quizizz ini mendorong bukan sahaja dapat menguji tahap penguasaan pelajar, malah memberikan pelajar satu aplikasi alternatif yang lebih menarik dan efisyen untuk mengulangkaji pelajaran.

Pelajar seronok menggunakan aplikasi Quizizz

Mempunyai keunikan tersendiri, Quizizz lebih mudah untuk dimainkan secara berkumpulan mahupun secara individu jika dibandingkan dengan aplikasi Kahoot!. Pelajar dapat melihat soalan dan pilihan jawapan pada skrin telefon pintar mereka sendiri menggunakan aplikasi Quizizz, manakala penggunaan aplikasi Kahoot memerlukan skrin layar untuk memancarkan soalan manakala pilihan jawapan hanya dipamerkan di skrin telefon pintar pelajar. 


Apa yang lebih menarik mengenai aplikasi Quizizz ini adalah, ketika pelajar sedang menjawab soalan dalam aplikasi tersebut, skrin layar utama akan mempamerkan kedudukan pelajar berserta markah yang diperoleh. Kedudukan ini secara tidak langsung meningkatkan daya saing antara pelajar untuk mendapatkan tempat yang teratas dalam permainan ini.
(Rujuk klip di bawah)



Setelah pelajar selesai menjawab soalan di dalam aplikasi ini, guru akan menerima laporan pencapaian setiap murid dalam format excel seperti yang ditunjukkan di dalam rajah di bawah. Setelah membuat analisis berdasarkan laporan ini, guru boleh mengenalpasti bahagian topik  yang majoriti pelajar lemah. Ia dapat membantu saya utuk memilih topik mengikut keutamaan ketika mengulangkaji pelajaran pada waktu peperiksaan semakin hampir tiba.


Laporan pencapaian pelajar
Selain itu, aplikasi ini juga boleh dihubungkan dengan aplikasi Google Classroom. Kelebihan ini memberikan kemudahan kepada guru untuk memberikan ujian tersebut mengikut kelas masing-masing, serta memberikan gred individu berserta komen secara bertulis kepada setiap pelajar melalui aplikasi Google Classroom. Kelebihan ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar mengenalpasti kelemahan dan seterusnya memperbaikinya untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang dalam ujian yang seterusnya.


Aplikasi Quizizz boleh dihubungkan dengan akaun Google Classroom

Akhir kata, saya sebagai guru yang menggunakan aplikasi ini untuk penilaian pelajar dapat membuat kesimpulan bahawa, penggunaan Quizizz bukan sahaja mudah dan menarik, malah dapat membantu guru mengurus kandungan pembelajaran dengan baik. Aplikasi ini juga menarik minat pelajar serta menjadi alternatif baru kepada pelajar untuk mengulangkaji pelajaran. Saya sangat mengesyorkan para guru untuk menggunakan aplikasi ini di dalam kelas.